Thursday, 28 February 2008

Panduan Bercinta Bujang Bertemu Janda


Masyarakat sering memandang serong seandainya lelaki bujang bercinta dengan golongan janda. Alasan kebanyakan ibu bapa, anak bujang mereka masih teruna dan hanya sesuai dijodohkan dengan anak gadis juga. Lebih mengkecohkan keadaan seandainya perbezaan usia agak jauh di mana golongan ibu tunggal tadi lebih berumur dan memiliki anak.

Tanggapan keluarga si bujang bagaimana anak mereka harus berhadapan dengan situasi tersebut serta lain-lain hal lagi. Pernahkah anda berhadapan dengan situasi sebegini atau anda baru cuba berjinak-jinak berkenalan dengan golongan ini? Di mana, anda lelaki bujang dan bercinta dengan si janda. Ikuti sedikit tips bagaimana anda tersu menjaga hati si dia dan dalam masa yang sama perlu menghadapi keluarga juga.

Mereka Sangat Sensitif
Harus difahami semua manusia memiliki perasaan. Sama ada seorang itu terlebih sensitif atau dia boleh menerima apa sahaja keadaan, soal ini jangan dipandang remeh. Namun kebanyakan ibu tunggal amat sensitif dalam soal mencari kenalan baru. Lain situasinya jika ibu tunggal itu tiada anak dan masih muda. Bercerai pula kerana suami mempunyai wanita lain. Perasaan sakit hati lebih menguasai keadaan dan mereka juga mungkin mengambil jalan yang sama, mahu mencari kekasih. Jadi kalau anda mahu bercinta dengan ibu tunggal, pastikan tutur kata dijaga kerana tersilap kata, hubungan anda tidak akan kekal lama.

Jangan Terlalu Mendesak
Wanita ibu tunggal ini pastinya mempunyai trauma dalam perkahwinan mereka. Ada yang mungkin pernah dipukul oleh suami, menderita zahir dan batinnya serta lain-lain masalah yang timbul dalam perkahwinan terdahuluny. Justeru itu, jika anda mahu memiliki cinta mereka, jangan sesekali mendesak agar mereka dapat menerima anda di awal perkenalan mereka kerana trauma yang masih wujud akan membuatkan mereka sering berfikir banyak kali untuk perkahwinan keduanya. Mulakanlah perhubungan dengan niat yang baik dan jika anda sudah benar-benar memahami dirinya dan si dia juga sudah benar-benar mengenali diri anda, maka hubungan cinta itu boleh diteruskan.

Jangan Sesekali Mahu Terus Mencungkil Rahsia
Sesetengah orang cukup suka mencungkil rahsia orang hingga ke peringkat akar umbi. Bagi mereka, selagi rahsia tidak diketahui selagi itulah pertanyaan demi pertanyaan akan keluar dari bibir. Jika anda memilih untuk berkawan dengan ibu tunggal, cukuplah serba sedikit anda mengetahui kisah hidup mereka. Misalannya bagaimana perceraian itu terjadi. Tidak perlulah menjadi seperti ‘polis pencen’ bertanya pelbagai soalan sehinggakan wanita yang ingin anda kenali itu merasa curiga di atas perkenalan yang ingin anda bina. Lagipun perkara sudah berlalu dan anda tidak perlu mengungkitnya lagi.

Jangan Terarah Kepada Hubungan Seks Semata-mata
Umumnya, golongan lelaki sering memandang rendah kepada golongan ibu tunggal seolah-olah mereka terlalu dahaga mahu melakukan hubungan seks. Bagi wanita, cinta yang tulus ikhlas, sifat penyayang dan lain-lain situasi yang menyenangkan mereka adalah pandangan pada cinta pertama. Tidak semua wanita ‘dahagakan seks’ biarpun mereka telah lama putus hubungan di ranjang. Mungkin anda perlu menetapkan pendirian, apakah tujuan utama anda berkawan dengan ibu tunggal ini, semata-mata kerana seks atau anda benar-benar mencintainya dan mahu mengahwininya? Jika anda seorang Islam, ingat hubungan seks sebelum nikah itu haram. Jangan mengambil kesempatan ke atas kaum wanita.

Jangan Terlalu Memikirkan Si Dia Bekas Orang Lain
Wanita amat sensitif dan perhubungan anda pasti tidak akan berkembang jauh jika anda sentiasa memikirkan dia merupakan bekas orang lain. Perasaan itu mungkin terbawa-bawa begitu jauh dan anda terlupa akan statusnya semasa anda mula-mula menguratnya. Mengetahui dia seorang ibu tunggal sekaligus bekas orang lain, cukup untuk pengetahuan anda sahaja. Jalinkan perhubungan berdasarkan cinta yang suci dan percayalah, jika hubungan dibina atas dasar cinta, anda tentu bahagia bersama si dia.

Menjalin Hubungan Baik Dengan Anak-anaknya
Berbeza situasi jika anda berkawan dengan ibu tunggal yang punya anak dan mereka diceraikan tanpa anak. Bagi mereka yang tiada anak, tiada apa yang perlu difikirkan malah mereka mungkin bebas ke sana ke mari tanpa memikirkan perasaan sesiapa. Namun situasi ini tidak sama dengan ibu tunggal yang punya anak kerana mereka perlu menghabiskan sebahagian masa untuk anak-anak yang masih memerlukan perhatian. Jika anda dapat menawan hati si anak tadi lebih baik kerana hubungan baik anda akan menambahkan kemesraan sekaligus senang untuk anda terus serius menjalin hubungan dengan emaknya pula.

Berterus-terang Dengan Keluarga
Jika anda mahu mengakhiri perhubungan ke jinjang pelamin, anda harus meyakinkan keluarga tentang wanita pilihan anda. Anda perlu berpendirian tetap kerana kebanyakan hubungan begini pasti akan mendapat tentangan. Jelaskan juga mengapa anda memilihnya dan apa baik buruknya telah anda kaji lebih mendalam. InsyaAllah, jika anda bertegas pada pendirian, pastinya hubungan itu akan berkekalan. Ini kerana golongan ibu tunggal adalah manusia biasa dan mereka juga punya hati dan perasaan yang perlu dijaga, bukannya disakiti selalu. Kalau perlu, buktikan juga kepada masyarakat khasnya sanak saudara yang akan masuk campur menjadi ‘nasi tambah’ jika anda mahu mengahwininya.

0 comments: